Saya menganggarkan bahawa Kerajaan Persekutuan berdepan dengan tanggungan hutang 1MDB sekurang-kurangnya sebanyak RM20 bilion, iaitu:
1. Jaminan nyata (explicit guarantee) ke atas hutang terbitan pertama 1MDB yang bernilai RM5.8 bilion seperti yang diakui setakat ini
2. Tanggungan akibat surat sokongan yang menyatakan Kerajaan Persekutuan akan menanggung hutang 1MDB sebanyak RM9.7 bilion sekiranya 1MDB tidak mampu membayar
3. Tanggungan melalui hutang yang diberikan kepada anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd sebanyak RM4 bilion. Hutang ini diperolehi dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan
Daripada ketiga-tiga hutang yang diambil oleh 1MDB ini sahaja, jelas bahawa Kerajaan Persekutuan berdepan dengan tanggungan kewangan sebanyak RM19.5 bilion. Ini tidak termasuk baki hutang-hutang lain yang jumlah kesemuanya telah mencecah RM42 bilion bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 yang maklumatnya belum diketahui umum.
Oleh sebab itu, rakyat perlu dimaklumkan akan risiko tanggungan kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan yang kini telah mencecah sekurang-kurangnya RM20 bilion terutamanya mengambil kira prestasi operasi dan kewangan yang ditunjukkan 1MDB setakat ini.
Saya persoalkan prestasi 1MDB bagi ketiga-tiga pinjaman yang memberi tanggungan kepada Kerajaan Persekutuan ini seperti berikut:
1. Dana dari jaminan nyata sebanyak RM5.8 bilion dari hutang pertama 1MDB mulanya dilaburkan di dalam usahasama dengan PetroSaudi International (PSI), sebuah syarikat yang tidak dikenali kononnya untuk operasi carigali minyak mentah. Selepas 2 tahun, usahasama 1MDB-PSI itu tidak menunjukkan sebarang hasil dan pelaburan itu distrukturkan kembali. Hasil dari penstrukturan tersebut, dana 1MDB diletakkan di akaun-akaun rahsia di Pulau Cayman yang maklumatnya tidak diketahui sehingga sekarang
2. Dana RM9.7 bilion yang antara lain bertujuan mengurus dan membangunkan Tun Razak Exchange; sebahagiannya diserahkan pula kepada satu firma pelaburan kecil dari Hong Kong bernama Bridge Partners. Tenaga utama firma ini, seorang yang bernama Lobo Lee pernah disiasat kerana dituduh terlibat di dalam salahlaku kewangan. Sehingga kini prestasi pelaburan dana ini yang diuruskan oleh sebuah firma yang tidak diketahui
3. Pinjaman RM4 bilion dari KWAP yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada awalnya bertujuan untuk membeli syarikat perlombongan dari Mongolia bernama Gobi Coal & Energy untuk melabur di Mongolia. Pelaburan itu tidak berlaku dan sehingga sekarang tidak diketahui bagi tujuan apakah RM4 bilion itu dibelanjakan
Dalam keadaan 1MDB tidak boleh menyatakan pun ke mana perginya dana-dana yang memberi tanggungan kewangan besar berjumlah RM20 bilion ini kepada rakyat, sudah tentu rakyat berhak berasa bimbang.
Jumlah RM20 bilion boleh membina sekurang-kurangnya 40 hospital di seluruh negara. Ia boleh membuka sekurang-kurangnya 15 universiti awam baru. Jika dilaburkan dengan baik, peminjam PTPTN tidak perlu berdepan dengan tindakan-tindakan yang membebankan mereka sekarang.