Pagi ini saya bangkit dan menjenguk mentari dengan rasa penuh "berharap" moga ada sesuatu yang boleh direnungi dan diambil sebagai satu pengajaran daripada ucapan dasar Najib Razak yang dibentangkan pada perhimpunan agung Umno (PAU) ke ke 69 pagi ini. Ucapan dasar ini juga merupakan kali ke enam oleh Najib sebaik beliau menjadi Presiden Umno dan dinantikan dengan doa ia makin matang dan berkualiti.
Sayang seribu kali sayang, selama hampir satu jam mendengar ucapan Najib menerusi televisyen, tidak ada apa-apa yang menarik diperkatakan Najib yang boleh saya kutik untuk membuat penilaian semula atau meletakkan Umno dilandasan perubahan daripada apa yang ada hari ini. Saya kira akan ada beberapa pembaharuan atau aspirasi merangsangkan yang diunjurkan oleh Najib baik untuk masa depan Umno yang kian defisit kepercayaan, ataupun dalam usaha memartabatkan bangsa Melayu, bahasa Melayu dan juga agama Islam yang menjadi tunjang diperjuangkan parti itu. Tidak ada.
Apa yang ada ialah perulangan seruan Najib yang dibumbui kebimbangan Umno akan lemah dan seterusnya hancur kemudian kehilangan kuasa, dengan membuat seruan agar ahli Umno melakukan perubahan secara drastik dan bangkit memperkasakan parti. Ucapan Najib adalah pertukaran ayat dan baris daripada ucapan-ucapan beliau sebelum ini. Perkataan yang dipopularkan kali ini ialah "solidariti". Najib tidak menggunakan istilah ukhwah.
Manakala perulangan dan gesaan ini menunjukkan pelawaan dan saranan Najib, yang dibumbui ketakutannya selama ini belum tercapai. Bahawa Umno masih lemah dan tidak berganjak daripada budaya klise yang dianutinya kini. Najib memanggil untuk bersolidariti berkali-kali ini bermakna keadaan Umno dan BN dalam keadaan parah.
Dalam komuniti Malaysia khasnya dalam kalangan Melayu, mengharpakan ada pembelaan tegas dalam soal agama, bahasa, budaya, ekonomi, dan sebagainya daripada Najib, namun tidak dilakukan apa-apa olehnya. Ketipisan mengenai bahasa Melayu yang sering dipersoalkan oleh ahli dan pencinta bahasa, tidak disentuh langsung oleh Najib. Apakah kerana dibumbui ketakutan yang maha hebat maka soal-soal seperti bahasa dan budaya itu tidak ternampak lagi oleh Najib?
Kesemarakan terhadap Islam yang berlaku di negera ini, bila mana banyak program-program Islam diadakan, sehingga ke Putrajaya, kononnya untuk membendung kegiatan sekularisme dan liberalisme disebabkan tidak ada ketegasan beragama, Najib tidak pun memberi signal yang Umno mahu mendaulatkan Islam dengan membuka ruang perwakilan memberi input membincang untuk memertabatkan kedudukan Islam. Misalnya dengan cuba berikhtiar bagi melaksanakan perundangan Islam sepenuhnya atau membuka forum kepada perhimpunan membincangkan Hukum Hudud.
Begigu juga ketika generasi muda mengharapkan berlaku perubahan drastik dan penuh berimpaktif dalam Umno, Najib juga gagal memberi harapan dan melakukan perubahan baru yang diharapkan. Misalnya desakan atau keinginan agar orang muda diberi ruang memimpin Umno tidak direspons dengan menyeluruh dan konkrit oleh Najib. Tidak ada ketegasan dari Najib sebagai presiden serta membentangkan bagaimana bentuk untuk memberi jaminan kehendak generasi itu akan dipenuhi. Apa dilakukan Najib sekadar mengatakan beliau tahu aspirasi anak muda.
Kesimpulan ucapan Najib walaupun cuba dipersembahan dengan penuh semangat dan simpatis dengan nada pidato yang entah-entah, ianya gagal diterima dengan baik dan diberi tindakan balas oleh perwakilan. Perwakilan bahkan merasakan mereka disumbat perkara yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Mengajak perwakilan berdiri melaung "Hidup Umno", "Hidup Melayu" adalah slogan klise yang sudah mati, tanpa ada roh lagi.
Sebaliknya dari konteks pemerhati luar yang menanti transformasi yang dibawa Najib beberapa tahun lalu terutamanya dalam memberi kepuasan mengikut kehendak kontenporari awam sebagai satu anjakan politik, Najib seperti berundur ke belakang dan sekaligus daya kepimpinan dan keberaniannya tercabar apabila beliau akur dengan tuntutan ahli Umno agar mempertankan Akta Hasutan 1948 yang bertentangan dengan suara di luar. Najib mengumumkan yang Akta Hasutan 1948 dikekal dalam gelodak di luar sana melakukan kempen untuk menghapuskannya bagi mendapat kebebasan mutlak?
Ketiga-tiga sayap Umno, Pemuda, Wanita dan Puteri dengan dirohi oleh Timbalan Presiden, Muhyiddin Yassin mendesak Najib mengekalkan Akta Hasutan 1948 atas alasan untuk memperkukuhkan beberapa aspek atau mempertahankan perkara yang signifiken dengan kewujudan akta berkenaan.
Sebelum ini Najib bercadang untuk memansuhkan akta berkenaan selepas beberapa akta yang dianggap lapok dan usang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kediaman Terhad dan Akta Mesen Cetak dan lain-lain dimansuhkan. Mulanya pemansuhan itu dilihat keterbukaan dan transformasi dilakukan Najib dan disambut baik.
Bagaimana dengan pengakuan Najib hari ini akan mengekalkan Akta Hasutan 1948 (yang kini sedang "mentankedarah" mangsanya), disamping memperkukuhkan lagi dengan memasukan kuasa kononnya untuk menjaga kesucian Islam dan mencegah usaha memisahkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia menjadikan tindakan Najib itu persis surut ke belakang atau Najib menelan semula liur yang dikatakan hendak diludah.
Kalaupun ucapan dasar Najib kali ini yang boleh diberi pujian, Najib tidak menyerang pemimpin Pakatan Rakyat seperti sebelum ini. Beliau hanya menyinis PKR dan Pas sekali sahaja, manakala DAP langsung tidak disentuh.
[wm.kl.12:25 pm 27/11/14]
original