Monday, November 17, 2014

Kepercayaan Kolot Orang Melayu kepada Kuasa Raja

Kebudayaan Melayu sejak dulu lagi sememangnya tidak boleh ditampilkan tanpa penglibatan raja atau sultan sebagai faktor penting didalam kehidupan dan adab orang orang Melayu tradisional. Taat setia dan penghormatan yang diberikan kepada raja dan keturunannya, menunjukan satu budaya Melayu yang mana dari dulu lagi menganggap bahawa raja itu adalah pucuk pimpinan politik yang tertinggi, dan mempunyai kuasa mutlak atas segala-galanya yang ada di sempadan negerinya.

Namun ramai juga rakyat biasa, yang sehingga kehari ini, masih tidak memahami atau tahu akan sejarah dan fungsi sebenar masyarakat Melayu dizaman yang berasaskan feudalisme itu. Kepercayaan kolot dan perasaan inferior masyarakat Melayu tradisional terhadap kuasa besar, dan ketakutan mereka pada apa yang dianggapkan sebagai daulat raja Melayu, masih lagi dapat dilihat berada didalam psyche ramai orang orang Melayu sekarang.

Dari segi sejarah, negeri Melayu moden bermula dengan kemunculan Melaka pada tahun 1402. Kedatangan Islam pada tahun 1414 kenegeri tersebut telah dengan secara perlahan-lahan merobah kerajaan Melayu Melaka daripada sebuah kerajaan Hindu, kepada sebuah kerajaan yang berasaskan ugama Islam. Akibatnya, ketua kerajaan atau pemerintah bertukar menggunakan gelaran sultan, dan bukan lagi gelaran raja, secara rasminya. Sebagai ketua kerajaan, institusi raja atau sultan berada dikemuncak struktur masyarakat Melayu. Oleh itu sesiapa sahaja yang menduduki istitusi tersebut, secara otomatik diterima rakyat sebagai pemimpin politik utama mereka.

Dikalangan rakyat jelata, institusi sultan mempunyai pertalian rapat dengan psikologi feudal mereka. Bagi orang orang Melayu, Sultan sebagai pemerintah diperingkat negeri adalah manusia yang mulia dan mempunyai pelbagai kelebihan yang luar biasa yang dipersepsikan sebagai daulat. Jesteru, keistimewaan ini telah menyebabkan masyarakat Melayu percaya bahawa mendurhaka kepada raja boleh mendatangkan "taulah" kepada dirinya, dimana sesaorang itu akan mendapat pembalasan dari kuasa ghaib akibat dari kemurkaan sultan.

Kepercayaan ini akhirnya telah berkembang menjadi nilai social, yang kemudiannya secara perlahan-lahan menjadi asas kewibawaan (yang memberi legitimasi) kepada intitusi kedirajaan itu.

Bagi mengukuhkan lagi kewibawaan ini, kewujudan institusi tersebut telah ditokok tambahkan dengan pelbagai adat kebesaran, peraturan negeri, larangan diraja, undang undang yang menggambarkan bahawa baginda sebagai "makhluk" yang berbeza dari rakyatnya. Ianya bertujuan bagi menandakan ketinggian darjat diri dan darjat keluarga diraja, disamping memperlihatkan kepada orang ramai bahawa baginda kini memiliki atau memainkan satu "watak" yang baru.

Oleh itu didalam pemikiran rakyat Melayu, kepimpinan adalah hak mutlak raja dan mereka yang mendapat restu daripadanya. Sebagai rakyat mereka dituntut memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinannya.

Kekuatan baginda sultan diperkukuhkan lagi dengan kepercayaan bahawa kedaulatan baginda ada hubungkaitnya dengan aspek keugamaan. Sebelum kedatangan Islam institusi raja banyak dipengaruhi oleh tradisi ugama Hindu. Melalui konsep "keturunan dewa” ataupun "jelmaan dewa", ajaran agama Hindu telah menganggap bahawa sesiapa yang menduduki institusi itu sebagai seorang yang suci, mulia dan kudus. Oleh itu rakyat percaya bahawa raja mereka juga mempunyai pelbagai sifat keistimewaan dan kekuasaan yang sukar ditandingi, yang kemudiannya dipercayai sebagai "aura atau daulat".


Apa yang menarik, ugama Islam yang muncul kemudiannya, juga menerima dan mempertahankan intitusi raja tersebut. Beralih daripada jelmaan dewa, raja Melayu dikatakan pula mempunyai pertalian keturunan dengan Raja Iskandar Zulkarnain, iaitu seorang raja yang sangat mashyur pada zaman silam. Raja ini juga dipercayai sebagai Nabi Zulkarnain, sepertimana yang telah disebut didalam kitab suci Al-Quran.

Dengan percampuran tradisi kebudayaan Hindu dan ugama Islam masyarakat Melayu yakin dan percaya, bahawa raja mereka itu adalah “khalifah Tuhan” ataupun “wakil Tuhan” didunia ini. Malah ada juga yang mempercayai mereka itu sebagai “bayang bayang” Allah didunia. Oleh itu mereka berpendapat bahawa sesaorang Raja itu sememangnya patut disembah dan dijunjung. Sejarah Melayu telah meletakkan raja raja Melayu ini setaraf dengan Nabi dan sebagai “pengganti Allah” dimuka bumi ini.

Kepercayaan kepada ilmu ghaib, ilmu sihir dan jinn adalah satu amalan pengaruh Melayu kuno yang telah meresap didalam kebudayaan masyarakat ini. Banyak adat dan kesenian Melayu yang berkait dengan ilmu ilmu songsang ini, seperti memanggil roh yang sudah mati, memuja pokok pokok atau tempat yang dianggap keramat untuk meminta pertolongan, yang mana sudah dianggapkan sebagai satu perkara yang agak normal pada masyarakat Melayu ketika itu, yang masih baru dalam memahami rukun rukun ugama Islam.

Peranan dan kegunaan ilmu ilmu hitam ini adalah amat penting terutamanya dalam mengekalkan kedudukan raja raja Melayu pada ketika itu. Walaupun berugama Islam, masih ramai lagi orang orang Melayu yang mengekalkan kepercayaan dan adat adat Hindu mereka yang secara perlahan-lahan diubahsuaikan dengan ugama Islam yang mana kemudiannya disematkan kedalam adat adat Hindu ini.

Jinn dan ilmu sihir ataupun ilmu hitam memang banyak digunakan oleh orang orang Melayu terutamanya bomoh bomoh sultan, untuk mempertahankan raja raja atau istana mereka daripada ancaman musuh, samada dari segi zahir atau batin. Kebiasaannya raja yang memerintah dianggapkan mempunyai ilmu sihir yang paling kuat dan tidak mudah untuk dikalahkan. Jinn yang dikatakan sebagai jinn Islam juga digunakan untuk menjaga tempat kediaman dan singgahsana mereka ini daripada mereka mereka yang mempunyai niat buruk terhadap raja ataupun keluarganya. Kepentingan Jinn ini dapat dilihat semasa pertabalan sesaorang raja, dimana penglibatan Jinn ini digunakan sebagai petanda didalam adat adat resam diraja yang harus dilalui oleh seorang bakal raja, bagi menentukan bahawa baginda adalah seorang waris yang sah, untuk ditabalkan sebagai raja.

Jesteru, sultan sultan Melayu yang ada dinegara ini sekarang, tidak boleh dilihat sebagai manusia luar biasa, yang tidak boleh disamakan dengan manusia biasa. Ataupun, sesaorang yang dikurniakan dengan satu kuasa yang boleh memberi kesan tidak baik terhadap kehidupan atau diri sesaorang itu, sekiranya didapati mendurhaka keatas "titah" mereka. Ini adalah akibat propaganda yang telah lama disebarkan oleh institusi raja raja Melayu dalam menyelewengkan pemikiran dan menakut-nakutkan rakyat Melayu terhadap institusi diraja.

Tambahan lagi didunia moden sekarang, yang mementingkan hak hak asasi manusia, dimana setiap manusia itu harus diberikan peluang yang sama didalam menggali ilmu pengetahuan, termasuklah hak mereka untuk bersuara dan mengkritik, berkumpul, berbicara dan sebagainya, yang tidak muncul selama ratusan tahun dibawah sistem feudal kesultanan Melayu ini. Malah sistem ini telah membesarkan lagi jurang perbezaan diantara golongan masyarakat yang ada dibawah kuasanya. Sehinggakan mereka yang dilahirkan dari golongan atasan itu dikira sebagai "memenangi loteri", dimana kehidupan mereka ternyata akan lebih terjamin dan tidak akan merasa apa apa kesusahan berbentuk kewangan didalam hidupnya, sepertimana orang orang Melayu yang berada digolongan bawahan.



MERDEKA

Selepas mendapat kemerdekaan daripada British, kuasa memerintah dipegang semula oleh kerabat raja dan bangsawan bangsawan dulu. Raja Raja Melayu akhirnya hilang kuasa mutlak mereka sebagai pemerintah dan hanya mengekalkan kuasanya sebagai simbol, penasihat dan penaung kepada adat istiadat bangsa Melayu dan ugama Islam.


Namun apa yang telah dilihat berlaku diPerak, Johor dan Selangor baru baru ini menunjukkan bagaimana liciknya penglibatan raja raja Melayu sekarang diarena politik negeri yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Memahami akan psyche orang Melayu yang sentiasa akan tunduk kepada rajanya, mereka mengambil kesempatan untuk mencabar dan menguji sejauh mana sempadan kuasa yang mereka ada.

Tindakkan Sultan Selangor yang dipersoalkan oleh ramai pakar pakar perundangan dinegeri ini telah menunjukkan bahawa adab yang termaktub didalam sistem parliamentary monarch, jelas telah diabaikan. Malah keputusan yang telah dibuat oleh wakil wakil rakyat negeri secara demokrasi pula diperlekehkan tanpa diberi apa apa sebab. Sikap angkuh Sultan Selangor yang kononnya, apa apa keputusan yang dibuat tidak boleh dipersoalkan atau dikritik oleh sesiapapun, menunjukkan bahawa perwatakkan raja raja ini masih tidak berubah, dari masa nenek moyang mereka yang hanya mementingkan kuasa, kemewahan dan kesenangan diri mereka dan kerabat kerabat mereka sahaja. Apa yang menyedihkan, ialah apabila mereka mereka ini, disokong pula secara sukarela oleh sebahagian daripada rakyat, terutamanya orang orang Melayu yang cetek mindanya, yang sepatutnya dihantar balik keabad keenambelas supaya merasakan sendiri apa yang dimaksudkan, dengan kebebasan dan hak rakyat.

Pemerintah Barisan Nasional yang dulunya mahukan kuasa raja raja Melayu dihadkan, nampaknya telah bertukar arah, menyedari akan kedudukan mereka yang sekian hari semakin tergugat akibat daripada isu isu salahtadbir, penyelewengan hal hal kewangan, taraf kehidupan rakyat yang semakin merosot dan bermacam macam lagi. 

Oleh itu institusi raja raja Melayu inilah yang akan dijadikan pelindung dan juga sebagai benteng terakhir sekiranya kuasa memerintah beralih tangan pada PRU yang akan datang.


@aidyadnan